>>
 
Oleh; Adik Idan -Bukan Kambing

Merentasi Anjuran Banjaran Titiwangsa Melalui Pendakian Transpex Versi 2.0
Program pendakian “Transpex Versi 2.0” iaitu pengembaraan merentasi Banjaran Titiwangsa, telah kami mulakan dari Gunung Yong Yap melalui Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak ke Gunung Bubu, Puncak Kayong, Gunung Tok Nenek, Puncak 1886', Puncak Permandangan, Puncak Bonsai Tengah, Puncak 6850', Gunung Korbu, Gunung Gayung, Gunung Yong Belar dan berakhir di Blue Valley, Cameron Highland, Pahang. Ekspedisi ini telah disertai oleh Adik Idan, Abang Rashid, Abang Khairul, Abang Ajis, Pak Jong, Ibnu dan Zainal iaitu tujuh orang pemuda yang cekal hatinya untuk mendalami keindahan alam semulajadi ini, secara lebih mendalam lagi dan lebih mencabar. Program ini tidak terikat dari mana-mana kelab dan persatuan.Ianya adalah dari dasar persahabatan dan cintanya tentang alam. Persiapan untuk memulakan program ekspedisi ini telah kami rancang seminggu sebelum pergi. Keadaan yang agak kelam kabut ini terjadi, kerana diantara kami ada yang masih menuntut dan berkerja. Oleh itu cuti dan komitmen bagi yang berkerja adalah amat penting. Manakala Adik Idan, Ibnu dan Zainal telah mengambil kesempatan dari cuti semester mereka sebagai penuntut dari KLIUC, Selangor untuk menyertai program ini. Program pendakian ini telah dirancang secara tidak sengaja pada mulanya.

Setelah segala persiapan disediakan bersama. Kami telah memulakan perjalanan ke Sungai Siput, Perak dari Perhentian Bas Pudu Raya pada 1 April 2005 jam 6.30 petang, dengan penuh keyakinan. Bas yang kami naiki telah sampai ke pekan Sungai Siput, Perak tepat pada jam 9.35 malam. Kesempatan ini telah kami gunakan untuk membeli barang-barang keperluan peribadi buat kali terakhir sebelum masuk ke hutan. Sementara menunggu kehadiran ‘Hilux' peniaga berketurunan cina yang telah kami tempah untuk membawa kami masuk ke Pos Kuala Mu, kami telah mengisi perut yang keroncong terlebih dahulu di kedai makan Stesen Keretapi, Sungai Siput, Perak.

2 April 2005 –

Kami telah mengambil keputusan untuk bermalam terlebih dahulu di Stesen Keretapi itu dengan kebenaran pekerjanya. Selepas subuh menjelang, peniaga cina yang dikenali sebagai Ah Hen telah datang menjemput kami untuk memasuki perkampungan orang asli itu. Setelah bersarapan di Pekan Lasah kami telah meneruskan perjalanan ke Pos Kuala Mu dengan ‘Hilux' abang Ah Hen ke arah tujuan kami. Kami difahamkan keadaan cuaca yang sering hujan di perkampungan orang asli itu, akan menyebabkan perjalanan untuk memasuki perkampungan orang asli itu agak sukar. Ia sememangnya menjadi kenyataan kerana jalan laluan pembalak yang kami lalui adalah amat teruk, serta memaksa abang Ah Hen memasang peralatan bantuan rantai di tayar “Hilux”nya. Setelah mengambil masa kira-kira tiga jam setengah, kami telah sampai ke perkampungan orang asli Kuala Mu. Kehadiran kami telah disambut oleh penduduk kampung serta tok batin dengan gembira sekali kerana pada malam itu mereka itu ingin mengadakan majlis keramaian. Tepat pada jam 12.30 tengahari kami telah memulakan pendakian ke kaki Gunung Yong Yap. Arah tuju kami adalah untuk bermalam di tapak perkemahan “Pondok Dua”. Dengan semangat yang berkobar-kobar, kami telah meneruskan perjalanan walaupun hujan panas turun renyai-renyai. Tepat pada jam 4.00 petang kami telah sampai ketempat tujuan kami. Pada malam itu kami telah berehat awal setelah mengambil makan malam.

3 April 2005 –

Awal jam 5.00 pagi lagi kami telah bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan setelah bersarapan. Tepat jam 7.00 pagi kami telah meneruskan perjalanan untuk kepuncak Gunung Yong Yap. Perjalanan pada pagi ini agak mencabar dengan melalui denai yang agak lembab kerana hujan semalaman, serta keadaan denai yang agak menegak. Didalam perjalanan Ibnu telah disengat beberapa ekor penyengat. Walaupun begitu, dengan semangat yang kental ia tidak mematahkan semangat kami. Pada jam 12.30 tengahari kami telah sampai ke ‘Lastwater Point'. Setelah memenuhkan kesemua botol-botol minuman, kami telah meneruskan perjalanan ke puncak. Tepat jam 2.00 petang dengan penuh kesyukuran kami telah tiba di puncak Gunung Yong Yap. Perjalanan kami pada hari ini tidak berakhir disini, tetapi setelah makan tengahari dan bergambar kami meneruskan perjalanan menuruni puncak Gunung Yong Yap ke tapak perkemahan di kaki Gunung Yong Yap. Denai yang banyak bercabang dan bersimpang kadang kala menyebabkan kami hampir keliru. Dengan pengalaman serta ingatan dari Adik Idan dan Abang Rashid yang pernah melalui denai itu menyebabkan kami dapat mencari serta melalui denai yang betul. Keadaan hujan lebat menyebabkan kami terpaksa berhenti berjalan dan berkemah didenai sahaja pada petang itu. Lagipun bekalan air yang kami bawa sudah mencukupi untuk bermalam disitu. Hujan yang tidak berhenti pada petang tadi telah menyebabkan kami kesejukan pada malam itu.

4 April 2005 –

Pagi ini, kami terpaksa bertolak kearah tujuan kami lewat sedikit kerana keadaan yang sejuk dan terpaksa memakai pakaian yang basah serta lembap. Setelah memanaskan badan dengan unggun api kami meneruskan perjalanan kami pada pukul 10.00 pagi. Perjalanan kami pada pagi ini diteruskan dengan mendaki Gunung Bubu. Cuaca yang agak mendung telah diakhiri dengan hujan lebat sekali lagi setelah kami tiba di puncak Gunung Bubu pada jam 3.00 petang. Didalam keadaan yang kurang selesa dan kesejukan kami terpaksa meneruskan perjalanan.Keadaan hujan yang lebat telah menyebabkan kami terpaksa menuruni permatang gunung itu dengan perlahan kerana keadaan denai yang agak licin serta bahaya. Setelah seharian berjalan kami telah tiba di kawasan punca air pada jam 6.30 petang. Dengan kata sepakat keputusan telah diambil untuk bermalam disitu sahaja.“Kem Lopak Air” telah menjadi tempat bermalam kami pada malam itu. Setelah menebas dan membersihkan kawasan tapak perkemahan, kami telah membahagikan tugas untuk mengambil bekalan air di lopak air. Serta menyediakan tempat peraduan bersama didalam keadaan hujan dengan hari yang semakin gelap itu. Walaupun kepenatan dan kesejukan kami masih berkesempatan makan malam bersama-sama serta menceritakan pengalaman perjalanan masing-masing disiang hari tadi. Hujan yang telah reda menyebabkan rimba riuh- rendah dengan bunyi nyanyian katak. Malam ini kami telah tidur dengan selesa sekali kerana tapak perkemahan kami yang agak terlindung dari tiupan angin.

5 April 2005 –

Pada pagi ini seperti rutin harian kami setelah mengalas perut dengan bersarapan, kami telah memanaskan badan dahulu sebelum bertolak. Jam 10.00 pagi kami telah bertolak ke Puncak Kayong dengan melalui denai yang agak sukar kerana gaung serta halangan buluh-buluh kecil. Denai yang agak tegak untuk dipanjat telah membuatkan kami lebih berhati-hati. Setelah sampai ke Puncak Kayong kami berasa amat terharu kerana berkesempatan melihat pemandangan yang indah sekali. Doa kami telah termakbul untuk melihat permandangan indah pada tengahari ini. Puncak Gunung Yong Yap serta Gunung Bubu yang telah kami lalui kelihatan agak menarik. Ini kerana suasana selepas hujan menyebabkan keadaannya dilitupi dengan sedikit kepulan awan di bawah kaki rimbanya. Tepat jam 12.00 tengahari kami telah meneruskan perjalanan kami ke puncak gunung tanpa nama. Perjalanan kali ini cuma mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Gunung Tok Nenek yang indah ditumbuhi pepohon bonsai serta bunga-bunga gunung kelihatan amat menarik sekali, dari persimpangan tempat kami berehat, di puncak tidak bernama itu. Keadaan ini telah menarik perhatian kami untuk mencari denai kesana. Dengan perasaan ingin tahu kami telah mencari denai untuk ke puncak Gunung Tok Nenek, walaupun keadaan kami agak penat dan arah tujuan kami masih jauh lagi. Setibanya di puncak gunung itu kami berasa kagum sekali dengan kebesaran Illahi kerana keindahan yang telah tersedia dibumi sendiri. Pepohon, batu-batuan serta burung-burung disitu seperti mengambarkan kami berada di sebuah taman yang sememangnya jarang dilawati oleh pengunjung seperti kami. Semasa kami memanjat belahan puncak batu di Gunung Tok Nenek bunyi kambing telah kedengaran. Kemungkinan bunyi kambing itu adalah kambing gurun yang telah menduduki kawasan itu. Dengan perasaan ingin tahu kami telah menjumpai sebuah gua berhampiran puncak batu itu. Setelah agak lama berehat dan menghayati pemandangan yang indah di puncak gunung itu kami telah turun dan meneruskan perjalanan. Pada jam 2.00 petang, kami meneruskan perjalanan dari persimpangan puncak tidak bernama itu turun ke tapak perkemahan “Kem Kacang”. Perjalanan kali ini telah melalui denai yang agak sempit dan semak. Semestinya kami perlu menebas untuk melepasi halangan buluh-buluh kecil dan duri-duri pohon Bertam yang liar. Semasa didalam perjalanan, diantara kami telah disengat penyengat. Walaupun begitu, dengan semangat yang kental serta sokongan rakan-rakan, kami telah meneruskan perjalanan. Jam 4.00 petang, kami telah sampai ke “Kem Kacang”. Disitu kami telah masak untuk mengisi perut yang kosong kerana ia berhampiran dengan anak sungai. Pada jam 4.30 petang, kami telah meneruskan perjalanan kerana waktu masih awal lagi untuk kami bermalam. Setelah mendaki Puncak 1866' kami telah turun ke tapak perkemahan “Emergency Camp” dengan melalui beberapa puncak bonsai yang kecil yang agak semak. Setibanya kami di tapak perkemahan “Emergency Camp” sekali lagi kami terpaksa menebas agar dapat mendirikan kemah kami untuk bermalam. Keadaan cuaca yang agak baik ketika itu serta disinari dengan kerdipan bintang-bintang telah membuatkan kami lega. Deruan anak sungai yang indah serta sejuk dipinggir kemah kami membuatkan kami telah lupa dengan kepenatan yang telah dilalui di siang hari tadi.

6 April 2005 –

Pagi ni kami telah bertolak pada jam 8.00 pagi untuk meneruskan perjuangan dan pengembaraan kami. Tempat yang kami ingin tujui adalah Puncak 6850'. Awal pagi lagi kami terpaksa mendaki Puncak Permandangan untuk ke permatang Puncak 6850'. Pada jam 11.00 pagi, kami telah tiba di Puncak Permandangan. Keadaan disini amatlah curam kerana kami terpaksa melalui puncak permatang berbatu yang curam dikiri dan kanannya. Kelihatan Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap yang telah kami lalui dengan perit seperti melambai-lambai kami disebalik pepohon bonsai tua. Manakala di hadapan kami tersergam ingah dan gahnya, Gunung Yong Belar. Kemudian kami telah mendaki permatang yang agak menegak kira-kira 85 darjah untuk ke Puncak Bonsai Tengah. Setelah sampai di Puncak Bonsai Tengah kami dapat merasakan perjalanan kami telah jauh serta telah habis setengah perjalanan. Ini kerana Gunung Korbu, Gunung Gayung dan Puncak 6850' telah kelihatan dihadapan kami. Manakala dibelakang kami masih kelihatan sayu dan jauh Gunung Yong Yap. Setelah mengalas perut disitu, kami telah meneruskan perjalanan turun ke “Kem Lembah Agas”. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Pada jam 4.00 petang, kami telah melalui beberapa batang anak sungai. Kesempatan ini telah kami gunakan untuk mengisi bekalan air untuk dibawa ke Puncak 6850'. Perjalanan untuk ke puncak telah melalui permatang yang agak tinggi untuk didaki. Jam 6.00 petang, kami telah sampai ke kaki Puncak 6850'. Pendakian kali ini sekali lagi teruji dengan melalui denai dan semak serta agak tertutup jalannya. Ini dapat menunjukkan bahawa denai ini jarang dilalui. Kira-kira jam 9.00 malam, kami masih meneruskan perjalanan mendaki dengan melalui denai yang agak kecil dan sempit. Kami terpaksa merangkak didalam keadaan gelap dan sejuk kerana kami telah berada di tempat yang tinggi. Pada jam 11.00 malam, kami telah tiba di Puncak 6850' ataupun lebih dikenali sebagai Puncak “Junction”, dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan setelah melalui puncak “Anak Junction” serta permatangnya. Dengan keadaan yang agak penat dan mengantuk kami telah tidur selepas makan malam.

7 April 2005 –

Keadaan pagi yang indah di sini, memberi kami kesempatan untuk melihat matahari terbit di ufuk timur dengan indah sekali. Pada jam 11.00 pagi, kami telah bertolak menuju ke Gunung Korbu yang berada bersebelahan dengan Gunung Gayung. Perjalanan kali ini seperti bersiar-siar, ini kerana kami telah meninggalkan bebanan beg yang agak berat di Puncak “Junction”. Kami cuma membawa beg kecil yang diisi penuh dengan kudapan untuk digalas ke arah tujuan kami pada hari ini. Hujan renyai-renyai yang penuh rahmat turun kembali membasahi kami. Denai yang kering telah basah kembali Kami tetap meneruskan perjalanan, hingga pada jam 1.30 tengahari kami telah tiba di persimpangan Gunung Gayung dan Gunung Korbu. Setelah berehat lama kami dikejutkan dengan kumpulan pendaki dari UTM, Sekudai, Johor. Kedatangan mereka dari Gunung Korbu untuk melakukan pendakian “Trans Titiwangsa Versi 1.0 Reverse Trek” yang telah di pandu oleh rakan kami sendiri iaitu Sahlan bersama Pak Mail. Setelah puas bergambar dan bertanyakan khabar, kami meneruskan perjalanan ke Gunung Korbu terlebih dahulu dengan meninggalkan pendaki UTM di persimpangan itu. Perjalanan kami ke Gunung Korbu mengambil masa selama sejam dari persimpangan tadi. Perjalanan ini agak menarik sekali kerana permandangan petang disitu dapat melihatkan kami puncak Gunung Cabang dan Gunung Berincang di Cameron Highland kelihatan jelas sekali. Walaupun ia berada jauh sayup di hujung banjaran yang kami lalui. Pada jam 4.00 petang, saujana mata memandang, itu yang dapat kami gambarkan setelah tiba dipuncak Gunung Korbu. Bandar Ipoh jelas kelihatan setelah hujan yang turun tadi menghilangkan lapisan awan yang dingin. Setelah puas bersantai, kami turun kembali dari puncak Gunung Korbu dan ke Gunung Gayung sebagai destinasi seterusnya. Jam 6.50 petang, kami telah sampai di puncak Gunung Gayung. Kemudian kami telah berehat kembali sambil menikmati permandangan senja di persimpangan Gunung Gayung. Mentari yang merah bagaikan jatuh disebalik awan yang indah, telah melupakan kami kesengsaraan perjalanan ini buat seketika. Setelah leka menikmati keindahan alam ini. Kami meneruskan perjalanan untuk pulang ke tapak perkemahan kami kembali di Puncak 6850'. Semasa didalam perjalanan pulang, kami telah melalui tapak perkemahan warga UTM yang kami temui tadi di “Kem Cerek”. Teh “O” dan sedikit makanan telah menjadi santapan kami sebagai tetamu yang melalui kawasan tapak perkemahan mereka. Selepas ribuan terima kasih diberi kami meneruskan perjalanan pulang di temankan bintang-bintang malam yang indah. Kembali di puncak 6850', kami berehat dan makan terdahulu sebelum tidur.

8 April 2005 –

Pagi ini kepuasan telah terserlah dimuka masing-masing sebelum memulakan perjalanan. Perjalanan yang bermula agak lambat pada pagi ini disambut kembali dengan kehadiran hujan. Kami meneruskan perjalanan pada jam 12.00 tengahari untuk ke “Kem Gurka” melalui Gunung Yong Belar. Didalam perjalanan kami terpaksa berehat sebentar dibawah batu besar untuk memanaskan diri buat seketika kerana hujan lebat yang mencurah-curah dari langit. Sampainya kami di kaki Gunung Yong Belar iaitu “Kem Lembah H2O” , kami telah memanaskan badan dahulu dengan air panas untuk diminum. Jam menunjukan tepat pada pukul 4.00 petang. Setelah berpakat kami mengambil keputusan untuk keluar dari hutan mengikuti jalan yang dekat sedikit, iaitu melalui jalan “Kem Tudung Periuk”. Keputusan ini terpaksa dibuat, kami perlu pulang ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada hari ahad dari Cameron Highland kerana tugasan dan tanggungjawab masing-masing. Pada jam 4.15 petang, kami meneruskan pendakian dengan keadaan yang sejuk kerana hujan yang mencurah tadi. Keadaan denai yang agak teruk telah kami harungi serta redahi demi ke puncak Gunung Yong Belar. Dengan sedikit perasaan kecewa kerana tidak dapat melalui Gunung Charlie Pondok, kami tetap meneruskan perjuangan kami demi matlamat kami. Setelah mendaki beberapa anak gunung dan curam serta memanjat banir-banir pokok, kami telah tiba di “Kem Kuali” pada pukul 7.25 malam. Selepas menghormati keadaan mahgrib berlalu, kami meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Yong Belar. Malam yang dingin telah dicucuri dengan air mata kegembiraan setelah tiba di puncak Gunung Yong Belar pada jam 9.00 malam. Didalam keadaan yang berkabus, telah kami susuli dengan ucapan tahniah diantara satu sama lain. Kejayaan program ini pasti akan berakhir dengan gemilang setelah bersama merempuhi halangan yang ada. Perut yang keroncong dan keadaan yang sejuk tidak kami hiraukan kerana kegembiraan. Akhirnya kami sepakat untuk bemalam di “Kem Kasut” yang jaraknya cuma mengambil masa satu jam dari puncak Gunung Yong Belar. Setelah mendirikan kemah dan makan malam di “Kem Kasut”, kami bagaikan hilang rasa penat serta masih leka bersembang walaupun hari semakin lewat malam. Ada yang menceritakan pengalaman bersama beberapa hari yang lepas,ada juga yang telah membayangkan keadaan Pekan Tanah Rata, Cameron Highland.

9 April 2005 –

Jam 10.00 pagi, kami telah memulakan perjalanan untuk keluar ke Empangan Kecil di Blue Valley, Cameron Highland melalui “Kem Tudung Periuk” dan “Pintu Rimba”. Setelah bersarapan pagi dan membungkus makanan tengahari kami meneruskan perjalanan ke “Kem Tudung Periuk” selama dua jam setengah. Setelah itu, kami terus berjalan ke “Pintu Rimba” dan tiba pada jam 2.30 petang. Kami berasa bersyukur kerana dapat melihat pembangunan yang telah ada disitu setelah beberapa hari di dalam hutan. Perjalanan untuk keluar semakin hampir, awan yang berarak telah menurunkan hujan yang lebat kembali. Kami meneruskan perjalanan dengan semangat, demi kejayaan untuk keluar pulang walaupun hujan turun dengan lebatnya. Belukar, duri telah kami redahi, walaupun ada diantara kami yang telah mengorbankan kasut serta berselipar sahaja. Tepat pada jam 3.30 petang, didalam keadaan hujan, kami telah tiba di Empangan Kecil. Kami terpaksa berjalan kaki untuk keluar melalui jalan separa turap disitu untuk mencari kenderaan ke Pekan Tanah Rata. Setibanya kami di pinggir jalan raya pada jam 4.50 petang, Abang Sham telah masuk dengan “4wheel drive” nya melalui jalan itu untuk menghantar pendaki dari Johor yang dipandu oleh Abang Lan untuk melakukan pendakian “Transpex Versi 1.0”. Setelah Abang Sham keluar dari menghantar pendaki Johor tadi ke Empangan Kecil, kami telah mengupah Abang Sham untuk menghantar kami ke Pekan Tanah Rata. Pekan Tanah Rata telah kami sambut bagaikan syurga, setelah sampai disana,. Kami membuat keputusan untuk pulang pada keesokan harinya ke Kuala Lumpur kerana hari yang sudah lewat. Pada malam itu kami telah menyewa bilik hotel untuk berehat.

Sememangnya kami tidak dapat membayangkan keindahan alam yang terbentang luas di permukaan bumi ini. Negara kita mempunyai pelbagai keindahan flora dan fauna yang jarang dan masih belum diterokai. Walaupun umur diantara kami agak jauh berbeza tetapi semangat saling bekerjasama adalah amat tinggi. Sifat saling hormat menghormati dan tolong-menolong adalah amat berharga. Kenangan pahit dan manis semasa program pendakian ini dapat kami kongsi bersama, bagaikan sebuah keluarga yang ceria. Perjalanan pendakian ini amat lasak dan disertakan habuan yang amat jarang ditemui. Semoga kami dapat bersama lagi didalam program pendakian “The Real Trans Titiwangsa 20 Days” pada tahun depan.

Terima Kasih .

1.Tuhan yang Maha Berkuasa

2.Ibubapa tersayang

3.Abang Rashid, Abg Khairul , Abg Aziz, Pak Jong , Ibnu & Zainal

4.Sokongan rakan-rakan rekreasi

5.Bas Ekpress Konsortium & Ah Fatt Hi-lux 

6.Tok Batin Kuala Mu

7.Sahlan & Geng UTM Skudai

8.Abg Sham

9.Hotel2 kat Cameron Highland

10.Awek2