Oleh - Yusmawie
'Huh..!' jam di dinding tepat pukul 6.40 petang. Mawie menghempaskan badannya ke tilam empuk. Mawie tampak sungguh keletihan. Lebih kurang sebulan Mawie tidak pulang ke kampung halamannya. Sebulan jugalah tilam di dalam biliknya seolah-olah tidak bertuan.
Petang tadi selesai sudah tugas Mawie. Menghantar pulang rakan-rakannya menaiki bas ke Kuala Lumpur. Sebentar fikiran Mawie melayang. Menerawang jauh. Hilang entah ke mana.
"Mawie..! Mawie..!"
"Mawie..! Sampai tak ke Serudum?" Kedengaran suara berteriak dari ruang tengah rumah Mawie.
"Hermm..."
"Naik ikut mane?" Suara tuh bersambung lagi.
"Hermm..."
"Ikut ulu Berkelah ke?"
"Hermm..."
"Payah bercakap dengan orang tengah tidur ni..."" suara tadi mendengus dan berlalu diiringi tapak kaki yang menghala ke ruang tamu rumah Mawie.
Mawie cuba menguatkan diri. Memulihkan ingatan sambil menggerakkan badan. Kini Mawie pasti, suara tadi ialah suara Pak Busu Rauf. Dengan longlai Mawie cuba menegakkan badan. Liat sungguh untuk membuka mata. Mawie melangkah malas menuju ke ruang tamu. Sempat juga menjeling ke arah jam di dinding. Menghampiri pukul 7.40 malam.
'Hah..! tak sampai sejam aku tidur.' Bentak hati Mawie.
"Kenapa Pak Busu?" Mawie menyoal.
"Bila engkau masuk ke Serudum?" Mesti Pak Busu ingin tahu. Mawie masih ingat lagi tahun lepas. Dalam bulan 3. Bersama Pak Busu Rauf, Mawie bersusah payah mencari jalan ke puncak Serudum.
"Jumaat malam Sabtu" Mawie membalas pendek.
~~~~~~~~~~~
Selesai sahaja sembahyang Jumaat minggu lepas Mawie tidak masuk ke pejabat. Mawie sibuk mengemaskan barang-barang untuk di bawa ke Gunung Serudum. Sempat juga Mawie menonton cerita Yo Soy Betty La Fea di rumah sewanya.
Sekejap lagi Mat Zul akan pulang dari kerja. Mat Zul akan menghantar Mawie ke stesen LRT. Mat Zul mesti menghantar Mawie. Sebab tunang Mat Zul, Tisha, pun ikut serta ke Gunung Serudum.
Mawie dan Tisha tiba di Stesen Bas Pudu. Jam menghampiri 7.00 petang. Ramai juga peserta yang sudah sampai. Antaranya Abe, Tojen, Chilut, Nuryta, Prune. Itu sahaja yang Mawie kenal. Ajib pun ada, walaupun tak pergi ke Serudum. Tisha sibuk berbual. Maklumlah sudah lama kenal antara satu sama lain. Sedangkan aku masih baru dalam Komuniti Rekreasi MDC.
"Ini Chimm..."
Mawie mengalihkan pandangannya ke sebelah Tisha.
"Ini Mawie... guide kita." Sambung Tisha.
Mawie tak bersuara sambil tersenyum, sebagai tanda perkenalan.
"Tak pernah kenal poooonn..." Sambil tersenyum panjang, Chimm menggeleng kepala. Ekor rambut yang diikat ke belakang turut meliuk ke kiri dan kanan.
'Manis wajahnya...' bisik hati Mawie apabila melihat Chimm tersenyum.
Penantian itu satu penyeksaan! Bas dijadual bertolak pada pukul 7.30 malam tiba lewat. Katanya tayar meletup di tengah jalan. Pukul 8.00 malam barulah bas meniggalkan Kuala Lumpur menuju Kuantan.
Mawie duduk di tempat paling belakang seorang diri, sebelah Mawie kosong. Sepatutnya Jimi, tapi tak pergi, jatuh motor. Depan Mawie Nuryta dan Prune, diikuti Abe dan Tojen. Sebelahnya Shukri dan Paie, belakangnya barulah Tisha dan Chimm.
Sepanjang perjalanan macam-macam dibual oleh mereka.
"Nak duduk tengah-tengah ni ke?" Tiba-tiba Chimm bersuara sambil melihat celah tepat duduk antara dia dan Tisha.
"Ekkkkkkk...elehhhhhhh..." Mawie tersenyum dan diam. Melihat Mawie keseorangan, Chimm sengaja berlawak.
~~~~~~~~~~~
"Engkau masuk ikut mana?" Pak Busu pula menyoal.
"Ikut Air Terjun Berkelah." Ternganga-nganga mulut Mawie menahan ngantuk.
~~~~~~~~~~~
Malam Sabtu dulu Mawie meminta pemandu bas berhenti di hadapan rumahnya. Sambil membiarkan peserta lain mengemaskan diri, Mawie pulang ke rumah orang tuanya lantas menelefon Zulhatta. Selepas selesai bersiap, Mawie melangkah semula keluar dari rumah. Mitsubishi Pajero milik Zulhatta dan Isuzu Trooper milik Hj. Taha, ayah Zulhatta, telah tersedia di depan masjid tempat peserta bersiap.
Pukul 2 pagi semua peserta telah sampai di kaki Air Terjun Berkelah, termasuk Chilut, Me, Erin, Lipan, Nita, Ayor dan Anala. Atas arahan Chilut, Mawie membawa peserta untuk 'trekking' ke kolam ke-7. Mengikut jadual, 'camp site' malam pertama ialah kolam ke-8, tetapi keadaan tak mengizinkan untuk ke sana.
Malam itu angin bertiup agak kencang, selang beberapa langkah berjalan badan Mawie terkena rintikan hujan. Hujan yang mulanya rintik menjadi semakin lebat. Tiba di kolam ke-4 Mawie mengarahkan perjalanan di hentikan untuk menunggu peserta di belakang yang agak lewat.
"Tisha... bulan 2 nanti kita camping kat sini laa..."
"Ooo..." balas Tisha.
Kolam ke-4 memang sesuai untuk main air dan mendirikan khemah. Kolamnya tidak dalam dan kawasan perkhemahan agak rata. Memandangkan hari hujan, Mawie mengambil keputusan untuk bermalam di sini. Tetapi atas desakan Chilut, perjalanan diteruskan ke kolam ke-7.
Sepanjang perjalanan Mawie berkenalan dengan beberapa orang peserta lain. Antaranya Nita, inilah isteri Lipan rupanya. Pada Mawie Nita melakukan satu pengorbanan besar. Bukan senang seorang ibu hendak meniggalkan anak kecilnya di rumah.
Malam itu semasa memanjat batu Erin telah tergelincir, kepalanya terhantuk ke batu. Benjol sebesar telur ayam jelas kelihatan di dahinya. Agak mengerikan.
'Kalau keputusan aku nak bermalam di kolam ke-4 tadi dituruti, pasti perkara macam ni tak berlaku.' Bisik hati Mawie. Tapi Erin seorang yang tabah. Di berjaya mengatasi kecederaan yang dialaminya. Hampir jam 4.00 pagi semua peserta sampai di kolam ke-7. Hujan agak reda sedikit.
Chimm berada di belakang Mawie, dituruti Erin. Mawie mengajak Chimm pergi melihat air terjum kolam ke-7, sebab Chimm belum perrnah sampai ke sini. Kolam ke-7 merupakan air terjun tertinggi di Berkelah. Erin turut serta. Sambil melihat air terjun Mawie berbual kosong bersama Chimm dan Erin.
"Inilah kecederaan peling teruk yang pernah aku alami." Kata Erin.
"Benjol tu akan buat kau bodoh selama seminggu Erin." Balas Mawie.
"Kah..!Kah..!Kah..!" Berderai gelak tawa Mawie, Chimm dan Erin.
Badan Mawie mula terasa sejuk. Tempias dari air terjun terasa menikam ke tulang sumsum. Mawie, Chimm dan Erin bergerak ke tapak perkhemahan. Dari perbualan tadi, Chimm pun tidak ketinggalan dalam mengikuti cerita Betty. Selesai mendirikan khemah semua peserta masuk tidur.
~~~~~~~~~~~
"Uuuihhhh... engkau tidur kat ulu Berkelah...lah." Pak Busu macam terperanjat.
"Ha...ah kat batu lebar tu la..." Mawie tahu Hulu Sungai Berkelah bukannya dekat. Dari kolam ke-7 memerlukan sehari perjalanan untuk ke sana.
~~~~~~~~~~~
Mawie masih ingat lagi pada pagi hari Sabtu dulu. Walaupun tak makan pagi sebab nasi goreng terlalu pedas, tetapi Mawie bangun dengan tersenyum kerana melihat cahaya matahari. Tapi bak kata orang 'panas tak sampai ke petang'. Begitulah nasib XPDC Serudum pada kali ini. Baru nak memulakan langkah pertama, hari bertukar mendung. Hujan kembali renyai.
'Huh...! Takkan trekking dalam hujan.' Bentak hati Mawie.
Mawie tetap mengetuai perjalanan. 'Camp site' terdekat ialah Kem Temu Air. Untuk ke sana mesti meniti permatang Bukit Berkelah. Maka bermulalah pendakian untuk naik ke permatang Bukit Berkelah. Pendakian memang tiada maaf..! Tegaknya sungguh mencanak..! Sesekali Mawie berhenti di tengah perjalanan untuk berehat.
"Take 5..." Kata Mawie. Penting bagi Mawie untuk berhenti seketika.
Apatah lagi bagi memastikan Chilut yang menjadi 'sweeper' tidak ketinggalan terlalu jauh. Ada juga peserta yang pancit dalam perjalanan. Terutamanya Prune.
'Sorilah... Prune aku tak dapat tolong kau.' Bisik hati Mawie. Mawie jadi 'guide'. Mesti berjalan di depan sekali. Kalau ada peserta yang mengalami masalah, Chilut yang 'settelkan'.
Mawie sudah menghampiri permatang Bukit Berkelah. Nita di belakang Mawie. Suara Chimm kedengaran menyanyi agak jauh di belakang. Periang sungguh Chimm. Mulut macam tidak berhenti bersuara sepanjang perjalanan.
"Atas tu pemandangan cantik. Tapi hati-hati lalu kat sini." Mawie menasihati Nita. Di hadapan Mawie ada satu permatang kecil panjangnya tidak lebih 20 kaki. Lebarnya muat-muat untuk dua tapak kaki. Tiba di atas permatang Bukit Berkelah Mawie dapat melihat alam seluas mata memandang.
"Nampak tak depan tu?" Mawie bersuara. Lebuh Raya Pantai Timur masih dalam pembinaan. Jalan utama Kuantan-KL agak kabur. Kampung halaman Mawie dan Tasik Paya Bungor terbentang jauh di hujung sana. Tidak lama kemudian beberapa peserta lain sampai. Termasuklah Chilut dan Prune. 'Haversack' Prune sudah tersandang di dada orang lain.
"Auwww.... Aduh..!" Kedengaran satu jeritan.
"Aku kena sengat..." Erin mengadu sakit.
Dahi Erin benjol sekali lagi. Segera Erin mendapatkan ubat. Kesian Erin. ini bermakna Erin akan jadi bodoh lagi seminggu.
'Kah...Kah...Kah...' Mawie tergelak sendirian. Tapi Mawie kagum dengan Erin. Erin mampu mampu meneruskan perjalanan seperti biasa. Bukan senang hendak berjumpa perempuan setabah Erin.
Menuruni permatang Bukit Berkelah, Me berada di belakang Mawie. Di ikuti Tisha, Nita tidak berapa jauh dari Tisha. Me satu tempat kerja dengan Chilut. Macam-macam aku bercerita dengan Me tentang Gunung Serudum. Di tengah jalan Mawie berhenti. Mengeluarkan perkakas dan masak megi. Peserta yang lain turut berhenti.
"Wah... Guide dah terbakar." Kata Chilut.
"Mana taknya... pagi tak sarapan." Tisha menambah.
"Aku bukan setakat lapar lagi nih... tapi dah kebulur kau tau tak!" Mawie membalas. Beberapa peserta lain turut berkongsi megi dengan Mawie.
Sedang Mawie makan, Chilut mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kem Temu Air. Tapi Mawie menegahnya. Mawie tak mahu jadi macam malam tadi. Kepala Erin benjol sebab Chilut berkeras untuk meneruskan perjalanan ke kolam ke-7. Bukan Mawie hendak menyalahkan Chilut. Sandal yang Erin pakai malam tadi tapaknya pun sudah haus.
'Tapi kemalangan nak berlaku! Nak buat macam mana?'
Selesai makan Mawie meneruskan perjalanan. Membelok ke kiri untuk turun ke Kem Temu Air. Selepas simpang Mawie berhenti seketika. Agak lama. Hati Mawie rasa tidak selesa. Tidak semua peserta berada di sini.
"Chilut ni terlepas simpang ke?" Mawie cemas. Bergegas Mawie patah balik.
"CHILUTTT..!CHILUTTT..!" Mawie melaung.
"YA..!" Suara datang dari bawah gaung. Sahlah dia terlajak.
"PATAH BALIKKK..! PATAH BALIKKKKK..!" Hendak terkeluar anak tekak.
"HA..!" Balas Chilut.
'Nasib baik aku tak bagi dia jalan dulu tadi. Kalau tak, sesat entah ke mana dah!' Bentak Mawie. Hujan pula semakin lebat, hanya sekali-sekala sahaja hujan berhenti. Selepas semua peserta berkumpul Mawie meneruskan perjalanan. Semasa menghampiri Kem Temu Air Nita di belakang Mawie.
"Nampak tak punca air tuh... Air keluar dari celah batu." Mawie menunding jari.
"Ooo... Ha...ah." Nita membalas.
"Kita akan naik sebuah bukit lagi untuk pergi ke Kem Batu. Makan tengah hari kat sana." Mawie membuat pengumuman.
"Laa... Ingatkan berenti kat sini tadi... Nyesal orang bukak beg." Chimm bersuara dengan nada kecewa. Kesian Mawie tengok muka Chimm. Namun begitu Mawie membantu mengankat beg Chimm untuk di sandang ke bahunya. Perjalanan di teruskan.
Tiba di Kem Batu peserta berehat seketika. Sambil makan tengah hari. Roti manis bercicahkan air hujan yang tengah turun! Huh! Macam tak percaya je boleh makan! Kalau di KL jangan haraplah nak makan benda mcam ni!
"Chimm kau tengok ni..." Mawie menunjukkan sesuatu pada Chimm.
"Iiieeee... aaaaa.. tak nak!" Chimm menjerit dengan tergedik-gedik.
"Kau sentuh sikit jer Chimm." Mawie cuba mengusik Chimm.
"Tak nakkk! Tak naakkkkkkkk...!" Mengada-ngada sungguh bunyi Chimm. Sama ada Chimm memang takut pada pacat atau mengada-ngada takut Mawie pun tidak tahu.
Selesai makan tengah hari Mawie meneruskan perjalanan ke Hulu Sungai Berkelah. Prune berada di belakang Mawie.
"Stop kat sini jap!" Mawie memberi arahan kepada Prune. Mata Mawie liar memerhati keliling. Pokok tumbang telah menghalang jalan. Mawie tidak nampak jalan. Hujan yang begini cukup merisaukan Mawie. Tanda-tanda yang dibuat sukar untuk kelihatan.
'Allahhumasolialasaidinamuhammad...' Mawie bersalawat panjang. Beberapa kali.
"Prune ikut sini." Mawie memberi arahan. Perjalanan diteruskan. Kerap kali Mawie kehilangan arah dan tanda. Sekali lagi Mawie bersalawat panjang.
Hampir jam 6.00 petang semua peserta tiba di hulu Sungai Berkelah.
"Chilut jom ikut aku riki camp site." Mawie mengajak Chilut menyusuri hulu sungai. Peserta lain duduk melepaskan penat. Tiba di satu tempat Mawie berhenti.
"Inilah batu lebar... aku selalu tidur kat sini...tapi kita ramai... tak muat."
"Aku memang nak buat satu camp site besar kat sini. Tapi tak tau lagi bila..." Mawie menyambung. Memerhati sekeliling. Mawie hairan melihat kelompok pokok pakis yang dipijak rapat ke bumi. Besar jugak kawasannya. Tiba-tiba Mawie terlihat sesuatu. HUH! Mintalah tidak terserempak dengan binatang nih!.
"Tempat tu aku rasa sesuai." Chilut menunding jari.
"Okey gak tuh... jom panggil bebudak."
Sambil membersihkan tapak perkhemahan Prune bersuara.
"Banyaknya kabus."
"Kawasan sini selalunya memang macam ni... dekat pukul tujuh petang jer kabus penuh laa... 'kabusgunung'..." jawab Mawie bersahaja.
"Nak bawak balik letak dalam botol boleh tak?" Tambah Prune.
"Heh...he... 'kabusgunung'..." Mawie terdiam. Buat lawak pulak si Prune nih!
~~~~~~~~~~~
"Banyak tahi gajah kat hulu Berkelah tuh! Pak Busu." Mawie menyambung perbualan.
"Memang laa... Kolam gajah kat atas hulu sana." Pak Busu menjawab. "Habis tuh... budak-budak tidur macam mana?" Sambung Pak Busu sambil menyoal.
"Bebudak tuh bukannya kenal tahi gajah ker... *sensored* ker... anjing ker... main tidur bodoh jer..." Jawab Mawie agak keras.
"Tidur kat beirut tak?" Pak Busu ingin tahu.
"Tak... kat beirut mana ada air." Balas Mawie.
~~~~~~~~~~~
Pagi Ahad bermulalah pendakian ke puncak Gunung Serudum. Persiapan pada pagi Ahad agak lewat dari jadual. Besi beirut menandakan puncak sesuatu bukit atau gunung. Namun begitu ada juga puncak yang tidak ada besi beirut.
"Woiii... ngaper letak barang bebanyak dalam beg aku. Kang aku pancit kang." Chimm tiba-tiba menjerit. Melihat Chimm mengenakan 'haversack'nya memang lebih besar dari semalam. Beban telah bertambah. Mawie kesian melihat Chimm. Melihat ukuran badan Chimm, saiz 'haversack' tersebut memang tidak kena.
"Chimm kalau kau tak larat kang tukar beg ngan aku." Mawie menyahut.
"Okey... boleh gak..." balas Chimm.
Hujan masih turun dengan perlahan. Anala membaca ramalan cuaca yang diterimanya. Semua orang tergelak. Ramalan cuaca tersebut sepatutnya diubah. Hujan sepanjang hari dan kadang kala lebat! Baru betul!
Sebelum mendaki, Ayor membaca doa. Mawie memulakan pendakian. Prune di belakang Mawie. Trek semakin lama semakin menegak. Mawie teringat Chimm di belakang. Mawie berhenti di tengah trek. Semua yang lain turut berhenti. Apabila semua berkumpul Mawie mencari Chimm.
"Chimm jom tukar beg."
"Okey! Jap aku nak keluarkan kamera." Chimm mengeluarkan kamera lantas memasukkan ke dalam 'haversack' aku. Aku menyandang haversack Chimm.
'HUH! Memang berat.' Serta-merta bahu Mawie terasa sakit. Tapi lawan tetap lawan. Begitulah kata Chilut. Mawie memulakan langkah.
"Jangan potong aku. Aku nak berjalan belakang Mawie, kalau tak nanti aku lagi lambat." Prune tiba-tiba bersuara. Begitulah Prune sejak tengah hari semalam. Betul juga kata Prune nih!
"Dowwwwwwriieyyyyyyyyyy...." Mawie kenal. Itu suara Anala. Tak habis-habis dengan duri! Mawie pula sekali-sekala melaung nama Chilut, untuk pastikan jarak tidak terlalu jauh.
"Puncak jauh lagi ker Mawie?" Lipan pula menyoal.
"Ala... sebatang rokok lagi sampai laaaaa..." Itulah jawapan dari Mawie. Siapa sahaja yang bertanya kepada Mawie tiada lain jawapannya. Sebatang rokok jerrrr..!
Tiba di satu tempat Mawie berhenti. Semua peserta berkumpul.
"Antara keajaiban di Serudum ialah korang akan lihat batu-batu besar yang berdiri tegak. Contohnya kat sebelah ni..." Mawie menunding. Atas batu tersebut terdapat sebatang pokok besar berdiri megah. Mawie meneruskan perjalanan.
"Ini adalah batu paling besar dan paling tinggi." Mawie menunding sambil meneruskan perjalanan. Memang besar! Tinggi! Ala-ala 'Stonehenge'. Tiba di satu permatang rata dan agak luas Mawie berhenti.
"Kita dah berada di kawasan puncak Serudum. Kalau cuaca tak berkabus... 'kabusgunung' ... sebelah kiri tu kita akan nampak Highway Pantai Timur."
"Beirut jauh lagi ker Mawie?" Tojen pula menyoal.
"Ala... sebatang rokok lagi sampai laaaaa..." Semua sudah bosan dengan jawapan Mawie. Jadi 'guide' nih kene pandai main psikologi, kalau tak mental peserta drop!
Mawie meneruskan perjalanan.
"Selamat datang ke puncak Gunung Serudum!" Kata Mawie.
"Eh..! daaah sampai...." Macam suara tak percaya.
"YEEEHAAAAA...WOOOOO...WWWAAAAA...WAAAAAU...YIEEEAHO...WAKAKAKAA...WAKIKIKI...GEK...GEK...GEK..." Riuh-rendah, gegap-gempita. Puncak Serudum yang sebelum ini sunyi sepi menjadi haru-biru. Seorang demi seorang menyentuh besi beirut menandakan telah sampai ke sini. Gelak tawa silih berganti dengan rasa gembira. Namun hujan kadang kala lebat masih belum berhenti. Lensa kamera bertukar-tukar sudut untuk mencari pandangan yang terindah. Tidak kurang juga yang meraikan kejayaan dengan air Coca-cola. Hilang seketika segala penat lelah. Cuma niat sesetengah orang yang nak bergambar dengan baju kurung tidak kesampaian. Kah..!Kah..!Kah..!
~~~~~~~~~~~
"Engkau tido kat mane kalo tak kat beirut? Pak Busu inginkan kepastian.
"Sungai Pinang... tempat Pilus cari rotan." Jawab Mawie.
"Itu bukan Sungai Pinang... tu Sungai Dok." Pak Busu membalas.
"Sungai Pinanggg... Sungai Dok jauh lagii... kat Kem Lembah tuh mungkin Sungai Dok... sebab dia mengalir dari Serudum. Tempat Pilus tuh... air dari puncak 3000 kaki. Dalam peta topo itu adalah Sungai Pinang. Pilus tuh bukan betul sangat nama sungai, Haji Taha pun kata tuh... Sungai Pinang." Mawie menjawab panjang. Tegas.
~~~~~~~~~~~
Turun dari puncak Serudum Mawie masih menggalas beg Chimm untuk pergi ke Kem Lembah. Trek turun sungguh mencanak! Ramai yang tergolek, jatuh dan tersembam. Terutama sekali Lipan. Pelbagai aksi yang dilakukannya. Lipan layak bergelar 'stunt man'. Jalan sungguh licin.
Semua peserta makan tengah hari di Kem Lembah. Tempat bermalam masih jauh, Kem Sungai Pinang, atau lebih tepat sekali ialah anak Sungai Pinang. Itulah tempat yang Mawie janjikan dengan Chilut. Dari situ 4 jam trekking boleh sampai di kolam ke-7.
'River trekking' terpaksa dilalui sebelum mendaki naik dan turun semula ke Kem Sungai Pinang. Abe terjatuh semasa 'river trekking'. Habis basah kuyup baju Abe yang telah dibasahi hujan. Dalam perjalanan ke kem Sungai Pinang Mawie berhenti.
"Chimm...mana kau Chimm...sini kejap."
Chimm sampai. Mawie menurunkan beg di bahu Chimm. Mengeluarkan perkakas lalu memasak megi.
"Wah! Guide terbakar lagi." Itu suara Chilut.
"Arghhh..! gua dah kebulur... mana larat ma...makan roti jer tengah hari." Balas Mawie. Sekali lagi Mawie berkongsi megi dengan peserta lain. Chimm paling tak sabar makan, sebab dia galas beg aku. Selesai makan Mawie membantu Chimm untuk mengalas semula beg Mawie. Mawie masih menggalas beg Chimm.
Untuk turun ke kem Sungai Pinang Mawie sudah agak terpaksa melalui 'off-road'. Jalan sudah hilang. Seringkali Mawie berhenti dan berselawat panjang.
"Kita ni buat trek ke Serudum... bukan trekking!" Terdengar suara dari belakang. Macam suara Shukri.
'Hah! Aku dah mesej banyak off-road.' Bisik hati Mawie. Perjalanan yang dilalui oleh Mawie telah sampai di satu jalan balak!
'Huh! Sampai ke sini akhirnya. Bagus juga!' Bisik Mawie lagi. Mawie tunggu sehingga semua peserta berkumpul. Dalam hujan yang renyai Mawie berkata.
"Kita tak sesat tapi kita salah jalan! Kita tak akan pergi ke Kem Sungai Pinang yang aku cakap tuh... dan kita takkan keluar di kolam ke-7 Air Terjun Berkelah"
"Ini ialah ibu Sungai Pinang...jalan balak nih akan bawak kita keluar terus ke tepi main road Kuantan-KL. Malam nih kita akan bermalam di sebuah kem tempat orang asli mencari rotan." Agak panjang penerangan Mawie.
Orang asli yang Mawie maksudkan ialah Pilus. Pilus buat kem sementara mencari rotan dalam hutan ini. Kem yang Pilus buat terletak tepi jalan balak juga bersebelahan ibu Sungai Pinang.
Dalam diam Mawie gembira sebab 'ter'sampai di jalan balak ini. Sudah tidak perlu meredah hutan. Lagipun Mawie kesian tengok muka Nuryta, sudah pucat semacam asyik meredah hutan. Apatah lagi si Prune yang melangkah bagai terpaksa. Begitu juga dengan Nita, yang berusaha mengagahkan diri bagi menjayakan XPDC ini. Tisha pada malamnya mengadu demam, terpaksa makan tuna pada pagi tadi setelah ditipu oleh Chilut. Erin pula nampak memang gagah, tapi sudah bodoh selama dua minggu. Chimm memang tampak ceria sepanjang masa, mulut tak berhenti berbicara, tapi tak taulah! Peserta lelaki pula nampak tidak ada masalah. Abe, Tojen, Paie, Ayor, Anala, Me, Shukri, Lipan dan Chilut. Tapi ada kedengaran nada menyesal dan serik menyertai XPDC ini. Mawie pula...Perittt!!!!!. Sungguh perit. Hujan membuat Mawie rasa sengsara. Sejuk mencengkam.
Sebelum memulakan perjalanan ke 'camp site'...
"Chimm...Chimm..." Mawie berteriak. "Tukar semula beg Chimm...bahu aku dah sakit."
"Okey...tapi kamera aku ada dalam beg engkau...filem pun banyak lagi." Balas Chimm.
"Takpe biar aku bawak...boleh aku amik gambar kau." Jawab Mawie.
"Amik gambar aku banyak-banyak tau." Pesan Chimm
"Hermm..."
Tiba di 'camp site' hampir 9.00 malam. Semua peserta sibuk dengan tugas tersendiri. Pasang khemah, memasak, mandi dan membersihkan tapak khemah. Mawie duduk. Mawie dapat rasakan diri ini kurang bahagia. Mawie membuka beg mencari sesuatu lalu dikepitkan di celah bibir. Keceh! Keceh! Api 'lighter' menyala. Kepulan asap menerjah ke ruang udara. Huh! Lega rasanya.
"Apelah Mawie nih...merokok jerrrrr...tak berenti." Itu suara Prune.
"Hidup nih mesti bahgia Prune...jangan asyik derita dan sengsara jer...inilah kebahagian aku." Balas Mawie sambil mengankat rokok ke paras kenignya..
"Rokok tu kan merbahaya..."
"Tu...lah...ko tak tau...bahgia tuh camnerrrr... " Terdiam. Prune dah malas nak layan. Heh...He!
~~~~~~~~~~~
"Dari Sungai Pinang engkau naik ape balik ke sini." Pak Busu menyambung perbualan.
"Kereta Hj. Taha." Balas Mawie.
~~~~~~~~~~~
Pagi Isnin Mawie bangun sungguh awal. Malam tadi tidur tidak nyenyak. 'Sleeping bag' Mawie basah kena hujan. Mawie ternampak Chimm. Chimm sudah bagun dari tidur rupanya. Chimm sedang mengemaskan barang dalam 'haversack'nya. Kamera Chimm masih di tangan Mawie. Mawie berdiri di depan Chimm. Lensa kamera tepat di wajah Chimm.
"Chimm..Chimm...pandang siniiii...senyum."
Klik! Mawie jadi jurugambar Chimm secara tidak rasmi. Melalui lensa kamera, Mawie dapat melihat jelas wajah Chimm. Banyak juga gambar Chimm yang Mawie ambil. Setiap kali Mawie ambil gambar, Chimm tersenyum. Manis wajah Chimm bila senyum. Mawie suka!
Selesai berkemas dan bersarapan pagi Anala membaca doa. Perjalanan di teruskan melalui jalan balak. Sepanjang perjalanan Mawie tidak melepaskan peluang unutk mengambil gambar-gambar Chimm. Masuk hari ini juga lengkaplah XPDC Gunung Serudum yang tidak melihat cahaya matahari. Mendung dan hujan.
Jam baru melepasi pukul 12.00 tengah hari. Bunyi kenderaan jelas kedengaran. Ada peserta yang tidak sabar untuk balik. Apabila melihat kenderaan tengah sibuk lalu-lalang di jalan utama Kuantan-KL, sekali lagi jeritan bergema. Gegak gempita sekalian alam. Prune menitiskan air mata. Menangis. Macam tak percaya. Terlepas dari sengsara. Kes...Kes...Kes...
Fasa terakhir perjalanan ialah mengankat beg untuk pergi ke stesen bas yang terdekat, berhadapan Pusat Latihan Ternakan Haiwan Ulu Lepar. Bukan nak tunggu bas, tapi hendak menggunakan telefon yang terdapat di PLTH Ulu Lepar. Buat kali terakhir Mawie mengambil gambar Chimm di sini. Setelah itu Mawie memulangkan semula kamera tersebut kepada Chimm. Tidak lama kemudian Hj. Taha sampai. Semua peserta di hantar ke masjid Kg. Paya Bungor. Depan rumah Mawie.
Tugas Mawie tidak berakhir di sini. Sampai di rumah, Mawie membersihkan diri dan keluar semula. Mawie turun ke bandar Kuantan untuk mengambil bas ekpress ke Kuala Lumpur. Chilut mencadangkan semua peserta pergi ke bandar Kuantan. Tapi Mawie keras membangkang! Biarlah Mawie seorang sahaja yang pergi. Lagipun jarak antara stesen bas tempatan dengan Terminal Makmur bukannya dekat. Peserta terpaksa mendukung beg untuk ke sana. Mawie kasihan melihat sesetengah peserta perempuan yang dilanda kepenatan. Yang lelaki tuh macamlah semuanya larat! Di bandar Kuantan Mawie sempat pergi ke 'cyber cafe'. Mawie menjadi orang pertama membuka topik selepas XPDC Gunung Serudum.
Bas bertolak lewat 5 minit dari Terminal Makmur. Lebih kurang pukul 6.30 petang bas tiba di masjid Paya Bungor, Mawie meminta pemandu bas berhenti untuk mengambil kesemua peserta XPDC. Tetapi Mawie tidak meneruskan perjalanan ke KL. Mawie hendak tidur di rumah orang tuanya semalaman.
~~~~~~~~~~~
"Bila pulak engkau balik KL?" Pak Busu menyoal.
"Esok."
"Aku pegi masjid dululah... dah nak masuk Isyak dah ni." Pak Busu minta diri.
"Hermm."
Singkat sahaja perbualan Mawie dengan Pak Busu Rauf. Sementara menuggu Isyak Pak Busu memang selalu datang ke rumah Mawie.
Mawie melangkah semula ke biliknya, cuba menyambung tidur. Inilah kali pertama Mawie jadi 'guide'. Inilah juga XPDC paling perit pernah Mawie lalui. Tapi Mawie percaya pada diri sendiri. XPDC kali ini berjaya! Semua peserta selamat pergi dan balik. Puncak Serudum berjaya ditawan.
Mata Mawie susah hendak lelap. Mawie menghidupkan mesin basuh dan mencuci kesemua pakaian yang kotor. Termasuklah kasut dan khemah. Hampir pukul 1.00 pagi baru selesai kerja Mawie. Mawie masuk tidur semula. Esok mawie akan pulang ke KL. Untuk berhadapan dengan kesibukan kota.