Oleh:-Karat's
XPDC CHAMAH - ULU SEPAT DARI 5hb HINGGA 13hb FEB 2005
Gunung Chamah 2171m dan Gunung Ulu Sepat 2161m adalah 2 buah gunung yang termasuk diantara 7 gunung yg ketinggiannya mencecah 7 ribu kaki keatas di Semenanjung Malaysia. 5 gunung lagi adalah Gunung Tahan , Korbu , Gayong , Yong Belar & Yong Yap. Para pendaki gunung tidak akan melepaskan peluang jika berkesempatan mendaki ke Tujuh-tujuh gunung ini yangg lebih di kenali dengan jolokan G-7.
Pada 5hb Feb 2005 yang lalu kami berkesempatan mengikuti eskpedisi mendaki trans gunung Chamah dan gunung Ulu Sepat yang di ketuai oleh Abang Rashid dan Kak Aishah yang sering menjayakan aktiviti mendaki gunung di Malaysia mahupun pendakian gunung di Indonesia.
Kali ini seramai 13 orang peserta kesemuanya termasuk Widawati dari Keluang Johore dan Shahir dari Pulau Pinang . Dengan Menaiki bas pada pukul 10.45 malam dari Hentian Puduraya kami menuju ke Sungai Siput . Shahirakan menunggu kami di situ sebelum bersama-sama menaiki kereta pacuan 4 roda untuk ke Kg Lerlar Gerik.
Nama Peserta pada kali ini terdiri dari
1.Abg Rashid
2.Kak Aishah
3.Roland
4.Choon Han
5.Wid - Keluang
6.Fazlee
7.Shukri
8.Shuq
9.Mas
10.Aida
11.Amir
12.Ijam
13.Shahir Penang
6/2/05 - Ahad
02:05 Kami tiba di Pekan Sungai Siput . Peserta dinasihatkan menukar pakaian dan mengemas beg masing-masing sambil menunggu 4x4 . Peserta dari Penang masih belum tiba lagi. Menaiki 4x4 ke Kg Lasah untuk persiapan terakhir sebelum masuk ke laluan balak untuk ke Kg Lerlar ( Pos Khemar) iaitu Kg terakhir sebelum ekspedisi trekking bermula .
07:30 Tiba di Kampung Lerlar Abang Rashid & Kak Aishah sibuk menyediakan sarapan pagi. Kami mengupah 2 orang asli iaitu Halim dan Ary untuk menemani kami sepanjang 7 hari perjalanan yang sudah tentu amat mencabar .
10:20 Selepas semua persiapan telah kami lakukan . Dengan bebanan bekalan makanan selama 7 hari di pikul ke bahu, kami mulakan trekking melalui kebun getah Felcra , menyeberangi beberapa batang sungai serta melalui rimbunan pokok-pokok buluh . Melintasi beberapa batang sungai amat mencabar kerana kasut kami habis basah . Laluan selepas ini menegak sahaja menyesakkan pernafasan kami . Sudut pendakian dari 45 hingga 70 darjah terpaksa kami hadapi . Jarang sekali kami berjumpa kawasan lapang untuk berhenti rehat untuk melepaskan lelah kami . Kami makan tengahari di pertengahan jalan namun Kem Agas masih jauh . Selepas beberapa lama berjalan kami tiba juga di Kem Relik . Abang Rashid memutuskan untuk terus berjalan untuk bermalam di Kem Agas kerana hari masa terlalu awal katanya . Dengan tidak banyak soal kami menurut kata ketua ekspedisi kerana dia lebih tahu mencorakkan perjalananan kami .
17:55 Akhirnya kami tiba di Kem Agas untuk bermalam hari pertama . Hari esok tak tahu lagi ? adakah lebih teruk dari hari ni ? Kemsite Agas tidak terlalu besar . terdapat pokok tumbang disini .Boleh memuatkan lebihkurang dalam 18-20 roang sahaja. Punca air disebelah kiri , menurun 3 minit tetapi agak kurang airnya kerana sekarang musim kemarau. Ada yang sibuk memasang fly untuk berkhemah dan ada yang turun mengambil air . Kak Aishah sibuk ke dapur untuk menyiapkan makanan malam .
7/2/05 - Isnin
06:30 Pagi-pagi lagi Abang Rashid dah bangun masak nasi dan kejut kami yang masih sukar membuka mata.Terasa malasnya bangun tetapi apa nak buat , ekspedisi mesti di teruskan . Semua peserta di kerah bangun dan solat subuh .
08:00 Kami bersarapan pagi dan bersiap sedia untuk menghadapi hari kedua yang semestinya amat mencabar .ami diberitahu akan mendaki ke satu puncak berrnama puncak gunung bior .
09.15 Setelah senaman renggangan otot di jalankan oleh Choon Han yang melucukan ,kami memulakan langkah . Laluan kali ini agak berlumut tetapi disebabkan musim panas , lumut semuanya kemerahan tidak lagi kehijauan. Dianggarkan musim kemarau akan berlanjutan sehingga dua bulan lagi .
10.00 Kami tiba ke puncak Gunung Bior dan merakamkan foto kenangan berkumpulan semahu-mahunya kerana kami akan mengikuti laluan lain ketika pulang nanti . Dari puncak gunung Bior ini kami di tunjukkan Puncak gunung Chamah dan Puncak Gunung Ulu Sepat yang nun kelihatan kejauhan dari sini . Dapatkah kami kesana dalam waktu sesingkat ini ? Semua peserta hampir tidak percaya .
Berehat seketika kami meneruskan perjalanan ke kem Chanderik yang katanya 1 jam lagi selepas menuruni puncak Bior . Kami di fahamkan kem tersebut mempunyai sumber air sungai yang jernih .
11:15 Akhirnya kami tiba di Kem Chanderik dan mengambil air untuk kegunaan perjalanan kami . Kem site yang sangat cantik . Boleh memuatkan seramai 25 orang dengan selesa. Meneruskan perjalanan , kami terpaksa menaiki dan menuruni beberapa bukit sebelum ke Kem Retak iaitu kem Sempadan Perak -Kelantan untuk meninggalkan bekalan untuk ke Gunung Ulu Sepat nanti.Ketika itu hampir jam 13:10.
14:00 Kami tiba ke Kem Maggi untuk makan tengahari di situ . Peserta kelihatan kepenatan .Kak Aishah sibuk memasak beehoon soto untuk kami . Anak sungai yang amat jernih airnya melalui di tepi Kem ini. Disinilah Kak Aishah memberitahu dia di hurungi agas ketika beliau sampai di situ pada tahun 2001 dulu. Selepas makan kami bergegas ke destinasi seterusnya iaitu Kem Sungai Peres. Jika kami cepat akan terus ke Kem Sungai Rekom jelas abang Rashid.
17:15 Tiba juga kami di kem Peres setelah melalui laluan yang banyak menurun tetapi sentiasa di dikait oleh duri rotan di kiri kanan laluan. Nampak saja titian balak , tahulah kami bahawa kami sudah sampai ke Kem Sungai Peres kerana dari taklimat Abang Rashid ada memberitahu pasal titi balak dan sungai besar . Memandangkan jam sudah pukul 17:15 . Abang Rashid memutuskan untuk bermalam disitu saja kerana laluan seterusnya amat merbahaya . Laluan dari Sungai Peres ke Kg Rekom adalah laluan binatang seperti gajah , Harimau , babi hutan , kijang , tapir dan sebagainya. Keputusan itu melegaan kami kerana berpeluang untuk mandi-mandi disitu memandangkan airnya tenang lagi jernih . Peserta perempuan dibenarkan mandi dahulu dan peserta lelaki menyediakan Khemah dan flysheet. Pabila semua perkhemahan sudah didirikan , peserta perempuan mengambil alih kemsite untuk mengambil peranan memasak pula. Peserta lelaki tak sabar rasanya beremdam di sungai itu. Tapi bila tiba di sungai sorang-sorang tak berani masuk kerana airnya tersangat sejuk .Tersa sehingga ke tulang . Akhirnya ada yang mandi dan ada yang mandi koboi jer. Malam tu selepas makan dan tidor kerana esok kena kerja keras lagi .
8/2/05 - Selasa
06:30 Bangun ! bangun ! bangun ! . Hampir setiap pagi kedengaran suara Abang Rashid mengejutkan kami bangun tidur yang masih nyenyak didalam kepompong sleeping beg . Selepas Solat subuh terus berkemas . Abang Rashid dan Kak Aishah masih didapur menyiapkan sarapan kami . Peserta pagi ini nampak lebih segar kerana sudah dapat mandi .Lagi pun Abang Rashid kata trek hari ni santai jer .Destinasi seterusnya adalah untuk bermalam di Kem Tongkat Ali iaitu Kaki Gunung Chamah . Jangkaan kami untuk tiba ke situ sebelum jam 17:00 petang.
09:15 Mulai trek ke Kampung Rekom melalui laluan balak yang sudah lama ditinggalkan . Kesan tapak-tapak gajah masih baru kelihatan . Sekali-sekali kesan tapak Pak Belang kelihatan dengan jelas di kawasan yang teremdam . Laluan penuh dengan pokok resam yang sudah mestinya menyeksakan peha dan betis peserta-peserta yang memakai seluar pendek . Terdapat hakisan tanah runtuh yang amat dalam dibeberapa kawasan ditepi laluan . Kalau lah terjatuh kedalam jurang tersebut amatlah sukarnya tugas penyelamat dijalankan . Mujurkan kami kesemuanya selamat tiba di Kampung Sungai Rekom tepat jam 11:05 pagi setelah menyeberangi Sungai Rekom yang agak lebar.
Kami di sambut baik oleh penduduk Kaum Asli di situ dengan hidangan ubi bakar. Kami meminta izin untuk meyimpan sedikit bekalan kami yang tidak kami perlukan untuk ke Puncak Chamah.
Abang Rashid mengarahkan kami ke Kem Pakma untuk makan tengahari disitu kerana keadaan panas di kampung Rekom itu tidak berapa sesuai untuk kami . Perjalanannya hanya 1/2 jam dari Kampung itu .
12:00 Kami menyusuri laluan di tepi tebing2 sungai . Langkah haruslah berhati-hati . Silap langkah boleh menjuruskan kami kedalam sungai yang amat deras sekali . Kem Pakma yang dikatakan 1/2 jam tak kunjung tiba . Kami berjalan menaik dan menurun tetapi tak sampai sampai .Akhirnya Halim berhenti di satu kem . Bila di tanya katanya " Ini Kem Tengah " . " Kem Pakma suda lepas " . Patut lah jauh terasa .
Dibelakang pula Abang Rashid , Kak Aishah , Wid , Amir & Fazlee berhenti di Kem Pakma tetapi peserta lain sudah tak ada lagi disitu . Kak Aishah naik angin kerana peserta tidak mengikut arahan yang diberi. Nak kejar mungkin mengambil masa 45min @ 1 jam lagi pun belum tentu dapat kerana peserta depan jalan macam lipas kudung . Berjalan tanpa rehat langsung . Akhirnya grup belakang tiba juga di Kem Tengah. Kak Aishah masak tengahari disitu . menunya mee bandung di tolong oleh Roland .
14:25 Sesudah makan peserta berangkat semula untuk ke Kem Tongkat Ali . Laluan banyak menaik dari menurun . Langkah yang sudah longlai digagahkan juga . Ada kalanya kepala lutut terkena dagu metika melangkah naik .
15:45 Tetiba kedengaran teriakan dari peserta depan . " OOOiii TONGKAT ALI DAH SAMPAI ! " Macam tak percaya kami tiba di Kem tersebut seawal itu kerana kami menjangkakan akan sampai jam 17:00 petang . Waktu yang terluang itu kami penuhkan dengan mandi-manda di sungai yang amat sejuk tu tetapi tak mengapa asalkan badan segar -bugar. Airnya amat sejuk sekali namun ada peserta yang selamba beremdam di bawah jeram-jeram yang mengalir deras. Lepas makan , semua masuk tidur . Esok kerja kuat lagi untuk ke Puncak . Hari yang paling dinanti-nantikan oleh semua peserta.
9/2/05 - Rabu
06:30 Pagi-pagi lagi Abang Rashid dah kejut kami bangun . Pagi ni sejuk betul tetapi semangat untuk ke puncak chamah seperti memberikan kami semangat baru . Badan yang penat tidak kami hirau lagi . 3 hari untuk tiba ke Kem Tongkat Ali membuat kami lali dengan segala kepayahan yang kami tempuhi selama 3 hari yang lalu.
09:40 Selesai bersarapan kami mulai meninggalkan Kem Tongkat Ali untuk ke Anak Chamah,. Kami terpaksa memikul air dari sini kerana tiada air di puncak Chamah . Lagi pun punca air disebelah atas sana tidak boleh diharapkan sangat kerana pada musim kemarau ini kebanyakan punca air akan menjadi kering .
10:55 Tiba di puncak Anak Chamah . Kami mengambil kesempatan ini untuk bergambar beramai2.Selepas ini akan ada 8 lagi puncak tipu yang harus kami daki untuk menyampaikan ke puncak Chamah. Menurun dan mendaki setiap puncak ini adalah sesuatu yang membosan dan meletihkan . Namum semangat juang kami masih utuh. Satu demi satu puncak itu kami hadapi dengan tenang kerana kami tahu puncak Chamah tidaklah berapa jauh lagi sepertimana diberitahu oleh Abang Rashid pagi tadi
14:40 Akhirnya dek kerana tidak mau mengalah grup pertama tiba dengan selamatnya ke Gunung Chamah di susuli grup belakang 15 minit kemudian . Suasana girang-gembira terpancar jelas di wajah-wajah peserta yang tadinya agak suram ketika mendaki beberapa bukit untuk ke Puncak . Masa yang banyak terluang di puncak kami gunakan dengan mengambil potret kenangan berkumpulan dan indivitdu .Berbagai-bagai gaya di rakamkan . Lucu sekali menengokkan gelagat peserta-peserta. Ada yang masih merasa macam tidak percaya bahawa dia sudah sampai ke puncak gunung Chamah . 4 hari pendakian yang amat memenatkan terubat sudah pabila kami selesai misi pertama ini. Misi kedua kami adalah untuk turun dan mendaki pula ke puncak gunung Ulu Sepat. Lagi 2 hari lagi untuk kami menyampaikan ke puncaknya . Permandangan indah yang amat jelas tidak berkabus dari Chamah tidak akan kami lupakan sepanjang hidup kami . Kelihatan gunung Gerah , Yong Yap kelihatan jelas dari sini. Beramai-ramai kami menyaksikan betapa indah permandangn jatuhnya matahari di ufuk barat yang bertukar warna pada setiap detik ketika ianya tenggelam ke perut bumi . Syuhanallah ciptaan Tuahan yang maha Agung.Perkhemahan kami dirikan serendah mungkin kerana malam di puncak ini tersangat sejuk . Sebelum masuk tidur sempat Shahir membisikan suhu malam itu telah jatuh ke 8 darjah Celsius. Masing-masing tidur berimpit-impit untuk memanaskan diri masing-masing . Kami tidur nyenyak kerana merasa amat puashati dan lega sekali dapat tidur di puncak Chamah yang amat susah untuk menyampaikannya .
10/2/05 - Khamis
04.30 TONG ! TONG ! TONG ! kedengaran bunyi periuk di ketuk memecah kesunyian pagi . Terkejut kami dari lamunan mimpi kami . Siapa lagi kalau tidak ketukan dari Abang Rashid . Seawal pagi lagi Abang Rashid sudah mengerakkan kami kerana katanya kami harus mulai trekking jam 7pagi untuk mengelakkan daripada trekking di malam hari untuk ke Kem Maggi iaitu destinasi bermalam kami setrusnya untuk malam ke 5. Ini adalah satu sejarah pendakian bagi kami semua kerana tidak pernah kami bangun pagi seawal jam 4.30 pagi di puncak yang kesejukkannya mencecah +7 atau 8 darjah . Biasanya paling awal jam 6 pagi . Itu pun sudah kira terlalu awal buat kami . Selepas solat subuh kami bersarapan nasi goreng yang dimasak oleh Kak Aishah dan Widawati. Makan sarapan pagi seawal jam 6 pagi juga satu sejarah buat kami semua.
07:15 Dengan langkah pertama dan hati yang amat berat untuk meninggalkan puncak Chamah yang entah bila kami kunjungi agi , kami teruskan juga kerana kami sudah berazam untuk mendaki puncak kedua iaitu Puncak Gunung Ulu Sepat pula. Rasa puas dan kadangkala perasaan sedih berganti-ganti didalam hati kami . Akhirnya kami tiba di Anak Chamah semula 2 jam kemudian dan ke Kem Tongkat Ali 1 jam dari Anak Chamah .Berehat sebentar di Kem Tongkat Ali untuk mengambil barang-barang yang kami tinggalkan .
10:00 Dalam kesedihan dan terharu kem Tongkat Ali kami tinggalkan untuk ke Kem Sungai Rekom .Berhenti berehat sebentar di Kem Tengah . Peserta kagum dengan spesis bunga Pakma yang jarang di temui di tepi laluan sedang kembang segar .Ada yang tak perasan terpaksa berpatah balik untuk menyaksikan bunga yang sedang mengembang itu.
12:00 Berehat lagi di kem Bunga Pakma . Abang Rashid ,abang Halim dan Ary cuba mencari kembangan bunga pakma disitu tetapi tidak ada lagi . Kami tiba di perkampungan Rekom tepat jam 12:30 tengahri . Tok Batin dengan mesranya menghidangkan kami dengan ubi rebus & ubi bakar . Terasa enak sungguh ubi kayu yang epok . dengan sekelip mata tiga pinggan ubi kami habiskan dengan mencicah gula sahaja. Setelah kenyang kami tidak boleh berlenggah lagi kerana takut akan kelambatan untuk ke Kem Maggi . GERAK ! GERAK ! Abang Rashid mengarah . Sungai Rekom yang amat deras airnya itu terpaksa kami seberangi melalui bongkah-bongkahan batu yang besar-besar .Silap langkah pasti tergelincir dihanyut air. Melalui kembali tinggalan laluan balak yang kami tempohi beberap hari lalu tidak menjadi masalah lagi kepada kami . Kesan tapak kaki binatang buas tidak kami hiraukan lagi . Namun kepanasan Sang Mentari diatas kepala menjadi satu dugaan kepada kami . Habis basah lencun baju dibasahi peluh keringat. Susun langkah kami sudah berterabur . Ada peserta yang asyik bertanyakan " Jauh ke lagi nih ? " " Hari tu sekejap jer kita jalan , Hari ni terasa jauh ler pulak !" . Menandakan peserta sudah mulai bosan tetapi jalan tetap jalan .
15:50 Akhirnya kami sampai juga di tepi Sungai Peres. Ada yang mengambil kesempatan mandi , solat sementara menunggu Abang Rashid dan Roland masakan mee rebus . Kedengaran " Aku rasa macam nak muntah ubi tadi " " Jalan tak sampai-sampai " keluh salah seorang peserta .
17:15 " Gerak ! Gerak ! " Arahan dipatuhi . Roland yang berjalan dihadapan menaburkan anak-anak kertas agar orang dibelakang tidak tersalah jalan memandangkan hari mulai gelap dan laluan hutan ke Kem Maggi agak keliru sedikit kerana ianya adalah kawasan laluan dan mainan Sang Gajah. Kami terkejut kerana berselisih dengan satu lagi grup pendaki iaitu grup dari Tenaga Nasional seramai 12 orang bersama 2 orang guide dan seorang porter. 2 orang diantara mereka adalah kenalan kami juga yang sepatutnya mengilkuti kami tetapi tidak mendapat cuti panjang . Merek hanya akan ke Gunung Chamah sahaja . Tidak akan ke Puncak Ulu Sepat ." bolehkah mereka keluar pada hari ahad nanti ?" Satu soalan paling besar didalam benak kami .
18:59 Syukur kerana grup belakang akhirnya tiba ke kem Maggi dangan selamatnya sebelum malammenjelma . Jangkaan trekking malam tidak menjadi kerana kesemua peserta berjalan sungguh pantas hari ini .Mungkin kerana takut trekking di malam hari . Memasing kehairanan kerana kami mengambil masa 1 jam 45min untuk mendaki ke kem Maggi dari Sungai Peres berlainan ketika menurun dari Kem Maggi ke Peres pada hari kedua dulu , kami mengambil masa lebihkurang 2 jam lebih . Sempat kami mandi -manda di anak sungai ditepi kem itu. Malam seperti biasa Widawati dan Kak Aishah menyediakan kami makanan yang sungguh enak sekali. Satu soalan lagi " Boleh ke kita sampai ke Puncak Gunung Ulu Sepat sebelum malam Bang Rashid ?" Abang Rashid dengan tenang menjawab " Insya Allah sampai " " Esok kita akan mendaki dari permatang kepermatang jer tetapi di laluan itu adalah laluan Gajah , jadi hendaklah kita berhati-hati " ujarnya . Kami semua berdoa agar esok kami diselamatkan dari sebarang perkara yang tidak kami ingini berlaku.
11/2/05 - Jumaat
06:00 Seperti biasa , kami di kejutkan oleh abang Rashid . Semangat untuk ke Puncak kedua dalam misi trans Chamah -Ulusepat terasa di suntik ke dada kami . Bingkas kami bersiap sedia melakukan pendakian terakhir ini. Selepas Puncak Ulu Sepat tiada lagi pendakian . Kesemuanya menurun sahaja . Kami bersarapan nasi dan dibekalkan nasi juga buat makan tengahari . Nasi banyak membantu kami didalam pendakian kali ini kerana ianya banyak membekalkan karbohidrat yang kami perlukan . Persedian menu makanan memainkan peranan yang amat penting didalam sebarang eskpedisi . Ramai yang mengambil sikap mudah tentang bab makanan. Syukur kerana Kak Aishah banyak menyediakan makanan yang dapat memberikan tenaga berpanjangan untuk kami .
09:45 Dengan perasaan berdebar kami mulai mendaki ke Kem Sempadan yang terletak hampir 1 jam dari kem Maggi ini . Perjalanannya banyak mendaki .Duri rotan mengait kami disepanjang perjalanan. Terdapat laluan disebelah kanan untuk ke gunung Garak dari sini .
10:15 Kami tiba ke kem sempadan dan cepat-cepat mengambil barang dan bekalan makanan yang kami tinggalkan tempoh hari . Masih selamat walaupun sudah 4 hari kami tinggalkan .Jika jalan terus akan ke kem Chanderik dan balik ke Gunung Bior tetapi kami akan ke kiri pula menaiki permatang berlumut menuju Kem Sungai Leper. Laluannya tanah bergambut yang agak kehitaman tetapi duri rotan teramatlah banyaknya dikiri kanan laluan .Terpaksa kami menunduk-nunduk melangkah . Adakalanya ditengah-tengah laluan kelihatan kesan tapak-tapak Gajah . Begitu juga kesan tapak pak belang kelihatan masih baru lagi .Najisnya juga kelihatan baru. Tiba di puncak bonsai yang ketiga kami berhenti untuk makan tengahari . Abang Rashid buat teh"O "Limau panas . Terasa begitu nikmatnya makan dan minum disitu. Sesekali awan berarak diatas kepala kami dengan kesejukakannya . Habis makan kami bergegas ke Sungai Leper iaitu kem site terakhir atau punca air terakhir sebelum ke Puncak Ulu Sepat. Kami terpaksa memikul bebanan air bagi kegunaaan memasak di puncak . " Sorang 1 botol untuk dapur & satu untuk kegunaan sendiri " teriak Abang Rashid. Apabiila semua botol telah di sisi dan beg galas kami kesemuanya sudah mengelembung menandakan muatan sudah berlebihan , kami mulai mendaki . " Ketepi ! Ketepi ! beri laluan pada kenderaan Berat !" Shahir teriak memecah kesunyian.Memangnya masing-masing bergerak pelahan-lahan dek kerana bebanan dibahu melebihi baki kekuatan yang ada di kaki kami. Terasa kaki seperti terpaku ke tanah ketika berjalan . Hanya minda yang positif dan semangat serta azam yang tinggi sahaja membawa kami langkah demi langkah mengharungi segala rintangan demi rintangan ke puncak Ulu Sepat .
17:30 Satu lagi sejarah terpahat didada kami apabila kesemua peserta tiba ke puncak Gunung Ulu Sepat sebelum terbenam matahari. Widawati , Choon Han , Fazlee meraikan habis ketujuh-tujuh gunung G-7 mereka disini manakala Kak Aishah merainya buat kali kedua dan Abang Rashid buat kali ketiga . Amir , Sukri , Shuk , Mas , Roland , Aida , Ijam & Shahir juga tidak kurang berkongsi kegembiraan mereka kerana tertunai sudah hajat mereka selama ini.
14/2/05 -Sabtu
06.00 Walaupun hari ini hari terakhir namun Abang rashid tak bagi bangun lambat . " Sunrise ! Sunrise Cun Woo ! " Teriak beliau . " Rugi ler siapa tidor " Datang jauh-jauh nak tidor jer, buat apa? Baik tidor kat rumah !" Betul juga katanya itu ." Subhanallah " Permandangn matahari terbit sangat memukau pagi yang hening itu . Kesemua kami tidak melepaskan peluang ini kecuali Kak Aishah kerana sibuk ke dapur. Kelihatan pagi itu kesemua puncak2 banjaran Titiwangsa diantaranya Gerah , Yong Yap , Korbu , Gayong . 6852 ,dan Yong Belar. Gunung kenderong & kerunai di gerik dll.
08.00 Selepas bersarapan sesi posing -memosing dijalankan dengan glamour sekali . Abang Rashid siap memanjat pokok untuk mengambil angle yang baik dari atas . Pendek kata kesemua kami berpuas hati dapat tidur di kedua-dua puncak Chamah & Ulu Sepat dengan tiada masala besar. Tuhan juga memberikan kami cuaca dan permandangan yang amat cantik untuk kami nikmati .
10:30 Kami turun dari puncak Ulu Sepat dengan langkah yang hiba bercampur-baur. Segala kenangan sepanjang 7 hari ini menjadikan kami lebih matang dan lebih memahami hati budi sesama kami . Susah senang kami bersama dalam pergaulan menjadikan kami manusia yang lebih perihatin.
11:15 Berhenti rehat seketika di anak Ulu Sepat, sumber air terakhir jika pendaki mendaki kepuncak Ulu Sepat dari arah Kampung Lengwen .
11:40 Berjalan turun ke kg Lengwen . Terdapat 2 buah rumah lama kaum asli disitu .Kami sempat makan tengahri ditepi sungai Lengwen pada jam 12:30 dan terus bergegas meneruskan perjalanan kami ke simpang Gunung Gerah .Di Simpang inilah kami mengutip pokok kacip fatimah yang tumbuh meliar disitu. Banyak diambil buat kenangan dan juga untuk perkenalkan pada rakan-rakan yang tidak tahu bagaimana bentuk rupa pokok herba yang boleh digunakan sebagai ubat bagi kaum wanita yang baru melahirkan anak .
16.45 Akhirnya dengan saki-baki tenaga yang tertinggal , kami tiba di sungai besar terakhir yang menandakan perjalanan kami sudah sampai kepenghujungnya .Ramai peserta yang mengambil kesempatan untuk mandi-manda dan membersihkan pakaian dan kasut mereka.
17.30 Tiba di Kampung Lerlar Pos Kemar iaitu tempat bermulanya ekspedisi kami pada Ahad lepas .Ada yang mengambil peluang untuk membeli tongkat ali , beliung, bakul dan kraftangan yang di buat oleh kaum orang asli di kampung tersebut.
18:00 Kenderaan 4wd juga sudah siap sedia membawa kami ke Kamgung Lasah , Sungai Siput.Kami akan pulang menaiki keretapi . Keretapi malam dari utara ke selatan pada ada 2 . satu jam 11.30 malam dan 12.59 pagi .
21:15 Tiba di Lasah kami bergegas mandi dan bersiap-siap dengan baju cantik seperti mana kami sampai sini dahulu
22:00 Kami ke stesen keretapi Sungai Siput tetapi kami mengambil keputusan untuk menaiki keretapi pada jam 12.59 pagi nanti . Masa yang terluang kami penuhi dangan mencari kedai makan depan KFC. Makan macam tak pernah makan 10 hari. Segala makanan di pesan .Terkejut wanita yang mengambil pesanan kami .
23:00 Shahir mengucapkan selamat tinggalkerana kawanya akan mengambil beliau untuk pulang ke Pulau Pinang
1/2/05 - Ahad
01:05 Kami menaiki keretapi untuk ke Kuala Lumpur Sentral.
Memasing hanya tidur sahaja kerana keletihan .
07:30 Keretapi tiba di KL sentral. Sebelum berpisah kami sempat bersarapan pagi bersama-sama.Lepas bersarapan Abang Rashid memberikan sedikit ucapan dan menganjurkan agar kami saling bermaaf-maafan diantara kami . Almaklum 7 hari perjalanan didalam hutan bukanlah satu waktu yang singkat . Bermacam2 perkara berlaku dan inilah masanya kami berpeluang meluahkan isihati masing-masing.
08:00 Kesemua peserta bersalaman dan berpisah menuju haluan masing2. Chamah - Ulu Sepat sepat banyak mengajar kami lebih dedikasi , lebih kental , lebih terbuka dan yang paling penting sekali kerjasama setiap individu itu penting bagi merealisasikan matlamat berkumpulan .
XPDC CHAMAH - ULU SEPAT DARI 5hb HINGGA 13hb FEB 2005 BERAKHIR DGN JAYANYE DAN SELAMAT BERSAMA SERIBU KENANGAN YG TAK DAPAT DILUPAKAN OLEH PESERTA.
Sesiapa berminat untuk menyertai aktiviti mendaki boleh hubungi :
Abd Rashid 019-3107302