>>
  Oleh DALIZA ARIFFIN

ALOR STAR 26 Jun - Anggota pengiring kumpulan pendaki gunung dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia sewaktu mendaki Gunung Chamah, Gerik, Perak semalam merupakan seorang yang aktif dalam kegiatan sukan lasak khususnya berkayak sejak di bangku sekolah lagi.

Allahyaham Shahril Othman, 28, yang merupakan penyelia asrama UUM juga pernah mewakili Kedah dalam acara berkayak pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) yang pernah diadakan di Pahang.

Abang Allahyarham, Zafri Othman, 38, berkata, minat Shahril yang mendalam terhadap aktiviti sukan air itu telah memberi peluang kepadanya menerima anugerah pelajar terbaik dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya dahulu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Jalan Putra di sini.

Bagaimanapun, jelasnya, ini merupakan aktiviti pertama Allahyarham mendaki gunung kerana beliau lebih banyak tertumpu kepada kegiatan berasaskan sukan air.

Beliau menyifatkan Shahril seorang yang pendiam sehinggakan jarang bercerita mengenai pengalaman menarik atau pelbagai cerita-cerita lain mengenai dirinya selama ini.

``Kali terakhir saya jumpa arwah pada 4 Jun lalu ketika menghadiri majlis pertunangan salah seorang adik di Kuala Lumpur dan dia (arwah) tidak banyak bercakap dengan kami semua cuma hanya memberitahu dia (arwah) akan berpindah ke rumah sewa barunya berdekatan dengan universiti itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Terus, di sini hari ini.

Shahril yang mengiringi enam pelajar UUM merupakan salah sebuah daripada tujuh kumpulan kecil peserta lain mewakili universiti itu dalam ekspedisi menawan tujuh puncak gunung (G7) di semenanjung secara serentak semalam.

Gunung yang didaki oleh tujuh kumpulan itu ialah Gunung Tahan dan Yong Belar di Pahang, Chamah (Kelantan), dan Gunung Chamah, Korbu, Gayong, Yong Yap serta Ulu Sepat di Perak.

Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas dan terus meninggal dunia dalam hutan di kawasan Sungai Relak pada pukul 3 pagi semalam. Zafri memberitahu, adiknya yang tinggal di kuarters UUM di Sintok sejak bekerja di universiti tersebut tiga tahun lalu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini tetapi banyak mengurung diri dan tidur di biliknya.

Selain itu, ibunya, Bondan Kassim, 58, berkata, anak kelimanya daripada enam beradik itu juga tidak memberitahu kepadanya mengenai rancangan mengikuti ekspedisi mendaki gunung di Perak.

``Arwah sempat berpesan kepada abangnya supaya rancangan ekspedisi itu tidak diberitahu kepada saya kerana sekiranya saya tahu mengenai ekspedisi mendaki gunung itu saya tidak benarkan dia pergi apatah lagi saya diberitahu bahawa arwah demam sebelum pergi ke Perak,'' katanya.

Bondan berkata, berita sedih itu telah dimaklumkan kepadanya oleh pihak UUM lebih kurang pukul 5 petang dan sebelum itu beliau berasa begitu gelisah sejak pemergian anaknya untuk mengikuti ekspedisi mendaki gunung tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak UUM kerana telah menguruskan segala urusan pengkebumian jenazah Shahril di samping bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Kuala Lumpur yang menggunakan helikopter untuk membawa keluar mayat anaknya dari hutan.


AL FATIHAH dan TAKZIAH UTK KELUAR ARWAH